SEJARAH
SEKOLAH
Sejarah Sekolah Kebangsaan Banggol bermula dengan
pakatan orang-orang kampong yang diketuai oleh Tok Pak (Hamad bin Salleh) ,
ketua kampong pada masa itu bergotong-royong membina sebuah sekolah (atap),
lantaran keperluan semasa pada masa itu yang menginginkan rakyat yang celik
huruf dan berilmu. Tapak sekolah ini asalnya dari tanah rintahan (tanah belum
jelas tetapi pernah dapat lesen) yang diusahakan oleh Pak Ngah Man (Osman Omar)
dan Pak Su Man (Abd. Rahman Jusoh) untuk bertani.
Atas persetujuan mereka berdua
tanah tersebut dijadikan tapak sekolah. Semasa gotong-royong dibuat masih
terdapat tunggul-tunggul yang besar dan semak samun walaupun tapak tersebut
telah ditebas tebang oleh mereka berdua. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun
1949. Seorang guru kerajaan En. Shafie bin Awang dihantar untuk menjadi guru
pertama pada tahun 1950. Hanya Cikgu Shafie seorang sahaja yang mengajar pada
peringkat awalnya. Enrolmen murid ketika itu, diantara 15 hingga 20 orang
sahaja. Pada peringkat awalnya murid-murid datangnya dari Kampung Banggol, Permaisuri,
Tasik, Nyatoh, Beris Tok Ku, bukit Kemudu, Bukit Abal dan Bukit Maras.
Pada tahun 1951 sekolah bangunan kerajaan (atap
genting) didirikan bagi menggantikan bangunan gotong-royong yang dua kali
terbalik dipukul ribut. Bangunan ini mempunyai dua bilik kelas (30’ X 20’).
Bangunan dua tingkat yang menempatkan pejabat dan bilik yang baru dibina pada
tahun 1969.
SEJARAH NAMA SEKOLAH
Nama
“Sekolah Kebangsaan Banggol” adalah diambil sempena dengan nama kampung di mana
sekolah ini di bina di kampung Banggol. Banggol bermaksud “Tanah Tinggi”. Pada
musim banjir kawasan di sekitar kampung ini akan ditenggelami air. Sebab itulah
tempat ini telah dinamakan Kampung Banggol kerana kedudukannya yang agak tinggi
dari tempat lain.
Apabila
dibina sekolah ini di sini, orang-orang kampung menamakan Sekolah Kebangsaan
Banggol. Bangunan awal sekolah ini dibina secara bergotong-royong oleh penduduk
kampung di Kampung Bukit Kemudu yang terletak berhampiran dengan kampung ini.
Oleh kerana kawasan itu dikelilingi hutan yang agak tebal dan didiami binatang
buas, menyebabkan orang kampung takut ke sekolah tersebut. Permuafakatan
penduduk kampung, sekolah ini dipindahkan ke Kampung Banggol. Bangunan asal
sekolah ini merupakan bangunan kayu beratap bertam.
Pengasas
sekolah
Pada
tahun 40-an masih terdapat lebih kurang 90% penduduk di Kampung Banggol
dibelenggu keadaan buta huruf. Bermula dari situasi ini, dengan penuh kesedaran
dan keinsafan, seorang pemimpin kampung telah mencetuskan idea bernas bagi mengatasi masalah tersebut.
Ketua
kampung yang dimaksudkan itu ialah En. Hamad bin Salleh atau lebih dikenali
sebagai ‘Tok Pok’ di kalangan anak-anak buahnya. Walaupon Tok Pok tidak pernah
menghadiri sebarang pendidikan formal, namun beliau mempunyai pandangan yang jauh
tentang masa depan anak buahnya.
Biarpun
tidak mempunyai pendidikan formal, tetapi memandangkan kewibawaan dan
kebolehannya memimpin masyarakat, Tok Pok dipilih sebagai ketua kampung.
Sebagaimana penduduk kampung yang lain beliau membuat kerja-kerja kampung bagi
menyara kehidupannya sekeluarga.
Sikap,
akhlak dan budi pekerti yang dimilikinya, beliau dihormati dan disanjung
masyarakat.
0 comments:
Post a Comment